INDON RUGI $3.9B DALAM DUA TAHUN SEBAB RASUAH (19 Juni 2004)

JAKARTA - Indonesia telah kerugian 22 trilion rupiah ($3.9 bilion) dalam tempoh dua tahun ekoran rasuah, kata seorang pegawai semalam.

Jumlah itu adalah berdasarkan 1,198 kes rasuah yang disiasat oleh pihak pendakwa raya antara Januari 2002 dengan April 2004, kata jurucakap bagi Pejabat Peguam Negara, Encik Kemas Yahya Rahman.

Daripada jumlah keseluruhan kerugian, hanya 1.2 bilion rupiah telah didapatkan semula, katanya.

'Jumlah yang telah didapatkan semula adalah kecil kerana banyak kes yang kini masih dalam proses rayuan,' kata Encik Kemas kepada agensi berita AFP.

Menurut beliau, lebih banyak wang akan didapatkan semula apabila kes itu tamat dibicarakan tetapi sejumlahnya mungkin akan hilang selamanya.

Kumpulan pemantau rasuah sedunia, Transparency International, sebelum ini telah menamakan Indonesia sebagai antara negara yang paling banyak rasuah.

Sejak beberapa bulan lalu, pihak berkuasa Indonesia telah melancarkan pelbagai siasatan bagi membasmi rasuah di serata negara.

Para pegawai pemerintah bagaimanapun menolak dakwaan bahawa langkah itu adalah untuk memperbaiki imej Presiden Megawati Sukarnoputri menjelang pilihan raya Presiden pada bulan depan.

Pejabat Peguam Negara berkata bahawa bilangan ahli majlis undangan menghadapi tuduhan rasuah di serata Indonesia telah meningkat daripada 270 orang pada Mei lalu kepada 300 orang bulan ini.
Sumber: www.cyberita.asia1.com

BAGIKAN

Sahabat ICW_Pendidikan